Monday, 6 August 2012

3M - Membaca, Mengira Dan Menulis (Bahasa Malaysia post) - Bagaimanajika anak anda lambat bercakap?

Sistem persekolahan di Malaysia berteraskan satu misi - iaitu murid-murid sekolah rendah (7 sehingga 12 tahun) seharusnya menghabiskan 6 tahun yang diwajibkan oleh undang-undang kerajaan Malaysia di sekolah dan kanak-kanak tersebut sepatutnya mencapai kemahiran asas dalam 3M, iaitu Membaca, Menulis dan Mengira.

Sebenarnya saya tidak begitu pasti sama ada mengira atau menulis yang ditulis dahulu selepas membaca, oleh itu saya menulis kedua-duanya sekali - sekali di tajuk dan sekali di perenggan ini.

Setahu saya, konsep 3M telah pun diterapkan dalam sistem pendidikan Malaysia sejak zaman 'Pelajaran' dahulu, sebelum semuanya diseragamkan kepada 'Pendidikan'.

Saya ingin berkongsi pengalaman dan beberapa anekdot (ringkasan kisah benar) berkenaan sistem pelajaran Malaysia, terutamanya sistem pendidikan sekolah rendah di Malaysia.

Bukan setiap pelajar yang berumur 7 tahun (pada 31 Disember tahun itu atau 1 Jan tahun seterusnya) yang melangkah masuk ke Tahap 1, iaitu Tahun 1 (Darjah 1) tahu membaca atau menulis. Walaupun rata-rata kanak-kanak dihantar ke prasekolah, masih terdapat segelintir keluarga yang tidak mampu menghantar anak-anak ke sekolah sebelum mereka diwajibkan untuk ke sekolah semasa berumur 7 tahun. Oleh itu, di sesetengah kawasan, para guru terpaksa menangani masalah jurang Tahap kemahiran 3M di kalangan para pelajar.

Saya masih ingat lagi, para guru menunjukkan rasa bangga apabila murid-murid 'pandai' menunjukkan kemahiran mereka menulis 26 abjad/huruf dan melafazkan semua suku kata tanpa cacat cela. Apabila murid membisukan diri, mereka disindir dan dikatakan 'bodoh' dan banyak lagi kata-kata yang seumpamanya. Apabila difikirkan balik, saya gerun merenungkan trauma/kesan psikologi ke atas murid-murid yang diketawakan oleh seluruh kelas kerana 'bodoh'. Para guru (bukan semua, segelintir sahaja) menunjukkan kepada kanak-kanak bimbingan mereka yang tidak mengapa sekiranya kita mentertawakan orang yang tidak dapat memenuhi kehendak masyarakat iaitu Tahap pembelajaran yang asas. Sekiranya lambat sedikit dalam penguasaan akademik, terus ditertawakan dan dikatakan 'bodoh'.

Mengapa tiba-tiba jer tergerak hati menulis artikel ni?

Sahabat baik saya, panggillah dia Puan A, berkongsi luahan hati tidak lama dulu. Anak lelakinya, N, masih tidak dapat bercakap dengan normal walaupun usianya sudah menjangkau 6 tahun. Puan A sangat risau bagaimana N akan menyesuaikan diri dengan persekitaran semasa melangkah masuk ke Darjah 1 tahun depan (2013). Beliau takut anaknya akan dihina hanya kerana anaknya lambat bercakap daripada kanak-kanak lain yang 'normal'.

"Percayalah, Sue, kami telah menghantar N ke klinik pakar kerajaan, macam-macam ujian dah dijalankan, anak kami normal, bukan autistik (autisme), hanya lambat bercakap jer. Ramai orang mengata yang kami suami isteri tidak menjalankan tanggungjawab sebaiknya sebagai ibu bapa. Kami pun tidak ingin N menjadi begini! Kakak N tiada masalah bercakap pun. Paling menyakitkan hati apabila orang menjeling anak kami yang mengeluarkan kata-kata yang tidak difahami seperti 'ya ya ta ta' sambil menunjuk sesuatu yang menarik perhatiannya. Lebih-lebih lagi salah seorang doktor pakar yang pernah kami jumpa seolah-olah menganggap yang anak kami, N, itu gila," keluh Puan A.

Puan A takut anaknya digelar 'bodoh' tahun depan di sekolah rendah. Sekarang, N bersekolah di tadika berdekatan rumah yang mempunyai cikgu-cikgu yang memahami keadaan kanak-kanak ini dan tidak menunjukkan rasa tidak sabar atau marah-marah terhadap kekurangan kemahiran bercakap N.

Saya rasa, walaupun minoriti, mesti ada kanak-kanak yang sebegitu rata-rata di seluruh dunia, dan ibu bapa mereka sudah tentunya berasa 'terperangkap' oleh keadaan yang di luar kawalan mereka.

Balik kepada kenangan zaman persekolahan saya dahulu, saya ingat ada seorang budak lelaki yang berpindah ke sekolah kami semasa Darjah 4, ini saya gunakan nama sebenarnya, Larry namanya. Larry berpindah dari kampung dan kami terkejut yang dia tidak tahu membaca atau menulis dan kami mentertawakannya. Hasil kelas pemulihan sehingga ke Darjah 6, Larry mampu menulis A-Z tetapi terpaksa menyebut suku kata secara berasingan sebelum menggabungkan dua suku kata menjadi satu perkataan, contoh ya "S-A sa Y-A ya, saya".

Menurut kawan-kawan sekelas, Larry balik ke kampung selepas tamat Darjah 6 dan tiada berita mengenainya selepas itu.

Sekiranya kita mementingkan hak yang setara untuk semua kanak-kanak dalam pendidikan supaya menjadi insan yang berguna dalam masyarakat, dalam kes-kes istimewa bagi kanak-kanak normal yang hanya 'lambat' tetapi tidak cukup lambat untuk dikelaskan sebagai 'slow-learner' yakni tidak dapat menyertai kelas PKBP (bagi kanak-kanak yang bermasalah pembelajaran), sesuatu haruslah dilakukan untuk kumpulan kanak-kanak 'perantaraan' seperti N dan Larry.

Sekadar berkongsi, bukannya untuk mentohmah sesiapa ataupun mana-mana pihak.

Anda mungkin tertarik untuk membaca hasil nukilan seterusnya:

I plan to translate this blogpost into English soon.

No comments: